Sunday, 15 December 2013

TIPS UNTUK MEMBINA KELUARGA BAHAGIA

Setiap rumahtangga pasti akan ada masalah
suami isteri pasti akan bergaduh
Tapi, itulah adat berumahtangga

Disini, saya sertakan 50 tips untuk membina rumahtangga bahagia yang sumbernya saya ambil dari DR FADZILAH KAMSAH buat rujukan kita bersama.

Buat para suami, jadikanlah panduan....
Dan buat isteri, kena tahu semua ni agar kita dapat membantu suami melaksanakannya

1) Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa, anda tidak mungkin akan menjadi suami yang cemerlang

2) Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Allah tentukan untuk kita

3) Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh di banggakan oleh isteri anda

4) Setiap hari pulang dengan senyum bersemangat. Apabila suami senyum anak-anak bahagia dan raamat Tuhan akan turun

5) Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami

6) Telefon isteri atau hantar sms sekadar untuk menyatakan yang anda sayang dan rindu pada isteri. Isteri anda pasti akan merasa seronok.

7) Hiburkan hati isteri dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan

8) Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kereta semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja

9) Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan.Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan, Elakkkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan

10)Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda ketika mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan

11)Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan mesyuarat dapat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan dapat menyelesaikan banyak masalah

12) Bantu isteri melakukan kerja rumah. ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda

13) Pastikan penampilan anda anggun,kemas,bersih, wangi, sihat dan ceria.Ramai suami yang inginkan isteri yang mengancam, tapi mengabaikan diri sendiri

14) Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan dengan cara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin

15) Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami.Ramai suami mengabaikan nafkah kepada isteri bekerja.Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam

16) Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17) Sentiasa taat kepada perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan

18) Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain

19) Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri

20) Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suminya cemburu. Itu tanda di hargai

21) Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah telapak kaki suami. Maafkanla isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumahtangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga

22) Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab di tegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut,bingung,hiba dan memberontak

23) Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai model. Hidupkan amalan sunnah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah

24) Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain berbanding isterinya sendiri. Elakkan kesilapan ini

25) Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia

26) Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat,bertambah mengikut usia,penuh kemaafan,memberi tenaga,tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa

27) Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu.Apabila suami berubah,keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang

28) Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga.Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga

29) Pamer kematangan yang tinggi.Orang yang matang tenang,sabar,waras,bijaksana,dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah

30) Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya.Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja

31) Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu,pemaaf,peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih di sayangi wanita

32) Mahir dalam menguruskan keluarga.Peka dengan masalah dan kerenah ahli keluarga,cekap mencari punca masalah,mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum

33) Membaiki diri secara berterusan.Tingkatkan iman dan takwa,cuci hati dengan sembahyang taubat,istighfar,memaafkan dan minta maaf,berkawan dengan orang yang baik,pendapatan berkat dan baiki amalan dan tindakan

34) Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga.Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga

35) Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan untuk keluarga. sentiasa berikan galakan dan belaian.Elak marah,kritik ataupun hina keluarga

36) Tingkatkan ilmu berkenaan agama.Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama.Belajarla ilmu dengan niat mendidik diri dan keluarga

37) Sentiasa menegakkan kebenaran.Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik.Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah

38) Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi.Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan.Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat.Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak

39) Latih diri memuji dan menghargai isteri.Ramai suami yang pandai kritik tapi tidak memuji.Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa di sayangi

40) Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum di suruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah

41) Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Apabila berjauhan, telefon,SMS atau e-mel untk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu

42) Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain.Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat,berbual,tolak ansur,bermaafan dan banyak berdoa

43) Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci.Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka.Apabila isteri bahagia,suami akan bertambah bahagia

44) Apabila suami melayan isteri sepertimana dia melayan kawan,pasti isteri bahagia.Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang.

45)Suami wajar belajar jadi pengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik

46) Buat undang-undang dalam rumahtangga.Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap.Ini mengelakkan daripada bergaduh.Orang tidak boleh bergaduh sendirian

47) Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan,maafkan isteri,bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati

48) Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur

49) Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja,rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan,peramah juga dengan isteri.disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa

50) Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. Lakukan riadah, berdiet,berhenti merokok,bercampur dengan orang positif,bermain dengan anak-anak,menyayni,sembahyang taubat dan maafkan semua orang


No comments:

Post a Comment